PM beri bayangan BN, GPS dapat jawatan TPM

pm-beri-bayangan-bn,-gps-dapat-jawatan-tpm

Anwar Ibrahim memberi bayangan malam ini bahawa akan ada dua jawatan timbalan perdana menteri dengan masing-masing diberikan kepada ahli parlimen BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bercakap dalam sidang media pertamanya sebagai perdana menteri malam ini, Anwar berkata, hal itu kerana kedua-dua parti terbabit merupakan gabungan utama dalam kerajaan perpaduan pimpinannya.

“Ini melibatkan kerajaan perpaduan… bagi ruang untuk kami berbincang dulu.

“Jawatan timbalan perdana menteri biasanya daripada komponen kuat yang lain (selain PH), setakat ini dari BN.

“Dan Sabah, Sarawak… komponen terkuat Sabah dan Sarawak ialah GPS,” katanya di Kajang.

Anwar berkata, memandangkan jawatan perdana menteri telah disandang oleh PH selaku komponen terbesar, jawatan timbalan perdana menteri akan diberikan kepada rakan gabungan mereka.

Jelas ahli parlimen Tambun itu kerajaan pimpinan perpaduan itu dianggotai BN, GPS sebagai tujang serta Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Muda.

Ditanya mengenai ikrarnya berhubung gaji sebagai perdana menteri, Anwar sekali lagi menegaskan dia kekal dengan keputusan untuk tidak mengambil gaji atas jawatan tersebut.

Anwar berkata langkah itu ia penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat ketika negara dalam situasi ekonomi tidak menentu.

“Pasal apa awak nak paksa saya tak terima gaji… Ia sebagai langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat.

“Saya memilih untuk menolak gaji perdana menteri,” katanya lagi.

Pada 15 Nov lalu, ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Anwar yang juga pengerusi PH sekali lagi mengulangi pendirian tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri jika PH berjaya membentuk kerajaan.

Anwar berkata, melihat kesusahan rakyat dengan harga barang naik dan tiada tindakan berkesan daripada kerajaan menyebabkan dia tidak sanggup mengambil gaji sebagai perdana menteri.

  • N Faizal Ghazali dan Haspaizi Zain turut menyumbang untuk laporan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *