Video tular tiada kaitan dengan kumpulan pengganas – Polis

video-tular-tiada-kaitan-dengan-kumpulan-pengganas-–-polis

Polis tidak menemui kaitan antara bendera yang dibawa oleh penyokong parti politik dalam video tular dengan gerakan pelampau.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran terhadap spekulasi yang tidak memberi manfaat mengenai kumpulan itu selepas video memaparkan sekumpulan individu menunggang kuda tersebar luas di platform media sosial.

Katanya, video berdurasi 20 saat itu dipercayai dirakam pada 19 Nov lalu di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

“Polis kontinjen Pulau Pinang mengesahkan antara bendera yang dipegang adalah bendera parti politik, dan juga kalimah syahadah.

“Siasatan lanjut juga mendapati ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan pelampau atau pengganas,” katanya dalam satu kenyataan.

Video itu menunjukkan sekumpulan individu menunggang kuda membawa bendera PAS dan Perikatan Nasional, serta bendera putih dan hijau dengan kalimah yahadah.

Sementara itu, Mohd Shuhaily memberi amaran bahawa “spekulasi tidak sihat” boleh menyebabkan keresahan orang ramai dan boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan sedemikian juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar. Ini boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *