MKT Umno tegaskan sokongan pada Zahid

mkt-umno-tegaskan-sokongan-pada-zahid

Majlis Tertinggi Umno menegaskan sokongan kepada Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti dan pengerusi BN.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas selesai mesyuarat majlis itu yang berlangsung selama lima jam.

“MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid, presiden Umno, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai presiden Umno Malaysia,” katanya.

Penegasan itu hadir di tengah-tengah gesaan terhadap Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

Semalam, dilaporkan bahawa presiden MCA Wee Ka Siong dan rakan sejawatannya MIC SA Vigneswaran telah menandatangani surat tidak percaya terhadap Ahmad Zahid dan menggesa pengerusi BN itu digantikan oleh timbalannya, Mohamad Hasan.

Ahmad Zahid juga berdepan gesaan untuk melepaskan jawatannya daripada pelbagai pihak dalam Umno selepas prestasi buruk BN dalam pilihan raya.

Malaysiakini juga melaporkan bahawa terdapat percubaan untuk memecat Ahmad Zahid sebagai pengerusi BN semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada malam Selasa.

Ini berikutan rasa tidak puas hati terhadap Ahmad Zahid yang menghantar surat ke istana menyatakan bahawa 30 ahli parlimen BN menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Umno, dalam kenyataannya pagi ini, turut memaklumkan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 21-24 Disember.

Pada Julai lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Umno untuk menangguhkan pemilihan partinya kepada tidak lebih enam bulan selepas pilihan raya bagi membolehkan ahli menumpukan perhatian pada kerja pilihan raya.

Umno telah menangguhkan pemilihan di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Tempoh 18 bulan itu akan berakhir pada penghujung tahun ini dan pemilihan Umno 2021/2023 mesti diadakan sebelum 30 Dis 2022.

Majlis Tertinggi juga memutuskan bahawa BN harus menyokong dan menyertai kerajaan persekutuan yang tidak dipimpin oleh Perikatan Nasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *