‘Mesyuarat MKT Umno bincang tawaran PH, PN, bukan gesa Zahid berundur’

‘mesyuarat-mkt-umno-bincang-tawaran-ph,-pn,-bukan-gesa-zahid-berundur’

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam ini akan meneliti tawaran dan syarat yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya sokongan diberikan kepada mereka untuk membentuk kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki kepada media, sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan di ibu pejabat Umno, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata mesyuarat juga akan membincangkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Namun, katanya, isu berhubung gesaan beberapa pihak mahu Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan tiada dalam agenda mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata mesyuarat turut akan membincangkan tentang isu 10 Ahli Parlimen BN yang telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 sebelum ini.

“Kita pasti bincang perkara ini kerana satu perkara yang kita kena ingat dalam perlembagaan parti iaitu sebelum semua calon BN menerima watikah, ada empat dokumen perundangan yang perlu ditandatangani iaitu surat tawaran, surat akuan bersumpah, surat perjanjian pencalonan dan surat aku janji.

“Secara kolektifnya keempat-empat dokumen ini memberi indikasi bahawa kerusi yang ditandingi oleh mana-mana Ahli Parlimen BN itu bukan milik peribadi, bukan milik parti-parti komponen tetapi adalah milik BN,” katanya.

Terdahulu, antara pimpinan Umno yang dilihat tiba untuk menghadiri mesyuarat itu setakat jam 9 malam ialah tiga Ahli MKT iaitu Johari Abdul Ghani,Ab Rauf Yusoh dan Ahmad Shabery Cheek.

Turut hadir Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir.

Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *